Gelanggang rasmi skuad Perak FC iaitu Stadium Perak bakal berwajah baharu apabila kerja menaik taraf menggantikan rumput padang akan bermula pada bulan November depan.

Perkembangan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah menurut laporan Berita Harian. 

Baca Juga:

Menurutnya, peruntukkan sebanyak RM500,000 yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah disalurkan kepada pihak kerajaan negeri bagi menaik taraf sistem saliran serta penukaran rumput padang.

Sebelum ini, media melaporkan pengurusan Perak FC mencadangkan agar penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia atau Bermuda di padang stadium tersebut.

Oleh sebab itu, skuad Perak FC terpaksa tukar venue baki perlawanan Liga Malaysia musim ini dan kemungkinan besar akan beraksi di Stadium Manjung.

“Kita ada menerima beberapa cadangan dan di antaranya pasukan Perak FC akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai tempat perlawanan Perak FC hinggalah semua proses naik taraf selesai sepenuhnya.

“Manakala satu lagi cadangan adalah Perak FC akan bermain semua perlawanan di tempat lawan, namun kita harap mereka dapat bermain di Manjung dan semua itu bergantung kepada pengurusan Perak FC untuk berunding dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” kata Khairudin.

Bagaimanapun, Stadium Manjung memerlukan penambahbaikan dari segi pencahayaan lampu limpah untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh MFL.

“Saya dimaklumkan ketika ini kecerahan lampu limpah Stadium MPM ada sesetengah kawasan berada di bawah paras minimum syarat MFL iaitu minima 1,200 lux dan perlu penambahbaikan.

“Besar harapan kita agar Stadium MPM digunakan sebagai alternatif bagi pasukan Perak untuk beri ruang kepada penyokong memberikan sokongan kepada pasukan kita,” tambahnya.

Selain Stadium Perak, Stadium Darul Makmur juga akan memulakan proses penukaran rumput mulai bulan Ogos dan dijangka siap awal tahun depan.

Situasi itu menyebabkan Sri Pahang terpaksa beraksi di Stadium Temerloh sejak saingan Liga Malaysia bermula.