Gergasi mata wang kripto dan blok rantai, Binance, tidak mempunyai lesen atau berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjalankan sebarang aktiviti pasaran modal di negara ini.

Memetik The Edge Malaysia, Kementerian Kewangan (MOF) berkata laman web dan aplikasi rasmi platform dagangan tersebut juga kekal disekat daripada akses pengguna di Malaysia.

“SC akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau risiko baharu kepada pelabur tempatan,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.

Kenyataan MOF tersebut bagi menjawab pertanyaan daripada Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung perancangan SC untuk memberikan lesen operasi kepada Binance, serta rasional kelulusan tersebut memandangkan Binance sebelum ini pernah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur (Investor Alert List).

Mengulas lanjut mengenai status syarikat berkenaan, MOF menjelaskan bahawa SC telah mengeluarkan Binance daripada Senarai Peringatan Pelabur pada tahun 2024. Langkah itu diambil selepas siasatan mendapati syarikat tersebut tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti terkawal di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa SC sentiasa mengamalkan pendekatan dasar terbuka dalam menggalakkan penyertaan semua penggiat pasaran modal, termasuk pemain industri yang inovatif, demi mematangkan ekosistem pasaran modal tempatan.

SC juga kekal komited untuk mengadakan libat urus dengan mana-mana penggiat global yang berhasrat untuk menyertai pasaran modal Malaysia secara sah pada masa hadapan.