Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas susulan insiden kelewatan pembukaan pintu masuk Stesen Anak Bukit pada awal pagi tadi.

Kejadian berkenaan menyebabkan dianggarkan seramai 25 penumpang terlepas dua perkhidmatan KTM Komuter seawal jam 5.58 pagi (Tren 2901) dan 6.18 pagi (Tren 2903).

Menurut kenyataan KTMB, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi pada jam 5.30 pagi, namun petugas yang dijadualkan gagal melapor diri mengikut masa yang ditetapkan atas faktor kesihatan.

“Setelah dimaklumkan pada kira-kira jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan berkenaan namun tidak berjaya,” jelas KTMB.

Susulan itu, pihak pengurusan mengambil tindakan pantas dengan mengarahkan seorang Kerani Kaunter dari stesen berhampiran untuk hadir lebih awal.

Kakitangan pengganti tersebut tiba pada jam 6.30 pagi sebelum pintu utama stesen berjaya dibuka.

Mengulas lanjut, KTMB menegaskan bahawa pihak mereka memandang serius insiden berkenaan demi memastikan kelancaran perjalanan pengguna perkhidmatan awal pagi.

“KKTMB memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku. KTMB memandang serius kejadian ini memandangkan akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi yang ditetapkan,” kata KTMB lagi.

Pihak KTMB turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan, di samping mengulangi komitmen mereka untuk sentiasa mengutamakan keselamatan serta keselesaan penumpang.