Terengganu Turtles melangkah ke separuh akhir Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Pulau Pinang selepas tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan Johor Tigris 2-0 sebentar tadi.
Perlawanan di SPICE Arena, Bayan Baru itu menyaksikan Terengganu Turtles menggalas harapan di bahu Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan) dan apit kiri, Muhammad Zulhusni Basri.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Pulau Pinang: Perak Bison Atasi Selangor Pistons Untuk Separuh Akhir
- Peminat Sepak Takraw Thailand Puji Penganjuran STL
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
Manakala, Johor Tigris pula menampilkan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir (tekong), Teerapat Deecharoen (apit kanan) dan Farhan Adam selaku apit kiri.
Segalanya tampak cukup mudah buat Terengganu Turtles pada permulaan permainan apabila berjaya mendahului 8-2 bersandarkan kepada servis berkualiti Zulkifli serta libasan kemas Khairul Aman hasil umpanan tenang Zulhusni.
Johor Tigris kemudiannya bangkit dalam memberikan saingan hingga berjaya mendapatkan lima mata berturut-turut dan mengikat kedudukan 12-12.
Tidak mahu kebangkitan itu mengganggu rentak mereka, Terengganu Turtles kembali tampil dengan kemas untuk menang set pertama 15-12.
Tugasan lebih mudah buat skuad kendalian Mohd Faisal Muhamad pada set kedua walaupun Johor mengikat kedudukan 7-7.
Namun selepas insiden jaring terkoyak susulan servis padu Zulkifli, Terengganu Turtles nyata cukup sukar digugat untuk mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 15-8.
Dengan kejayaan menundukkan Johor Tigris itu, Terengganu Turtles menempah pertemuan menentang Perak Bison pada jam 12.30 tengah hari esok.
Dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Perak Bison mara ke separuh akhir selepas berjaya menundukkan Selangor Pistons 2-1.