Negeri Sembilan Antlers melepasi cabaran awal peringkat kumpulan C Liga Premier Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Selangor dengan nota kemenangan selepas menundukkan Johor Tigris pada aksi yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam sebentar tadi.
Membariskan Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Hafizul Hayazi Adnan sebagai apit kanan dan Zulefendi Sumari (apit kiri), Negeri Sembilan Antlers kelihatan berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan sulung.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Selangor: Penang Black Panthers Bermula Baik, Atasi Terengganu Turtles
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
- STL 2024: Jadual Penuh Perlawanan GP Selangor
Tambahan pula tekong Johor Tigris dari Thailand iaitu Chayaphon Chanakon kelihatan masih tercari-cari rentak dalam usaha menjelmakan servis terbaiknya.
Kombinasinya bersama apit kanan, Mohd Syahmi Syazwan Aziz dan Farhan Adam selaku apit kiri kelihatan sedikit longgar dan mengganggu rentak pasukan.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Negeri Sembilan Antlers untuk memenangi set pertama dengan keputusan 15-11.
Ketua jurulatih Johor Tigris, Haji Jamaluddin Hassan memasukkan Mohd Haidhir Salleh dan Teerapat Deecharoen bagi menggantikan Chayaphon serta Syahmi Syazwan pada set kedua.
Namun, langkah tersebut masih belum mencukupi buat Johor Tigris untuk menghalang regu Negeri Sembilan Antlers itu yang mengesahkan kemenangan 15-10.
Dengan kemenangan tersebut Negeri Sembilan Antlers kini ditangga teratas dan akan berhadapan dengan PDRM Defenders pada petang Jumaat nanti untuk aksi kedua.
Johor Tigris akan terlebih dahulu bertemu PDRM Defenders pada jam 9.30 malam esok.
Seperti dilaporkan sebelum ini dengan pengenalan saingan GP di lima lokasi berbeza, format pertandingan berubah dengan tiada lagi saingan liga satu musim.
Pasukan bertanding akan diundi tiga pasukan dalam satu kumpulan dan kemudiannya akan bersaing untuk merebut juara bagi setiap GP.
Sehubungan dengan itu setiap pasukan perlu bersaing bagi mengumpul mata keseluruhan tertinggi untuk dinobatkan selaku juara musim ini.