Kuala Lumpur (KL) Thunder jelas amat sukar digugat apabila berjaya muncul juara Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 GP Terengganu selepas menundukkan pasukan tuan rumah pada aksi final malam tadi.
Dibarisi Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Sirisak Anuloon (apit kiri), KL Thunder yang dibimbing Rosli Ab Rahman nyata berada di kelas tersendiri untuk sekali lagi muncul juara dimana sebelum ini mereka mengungguli GP Selangor.
Baca Juga:
- Atasi Perak Bison, KL Thunder Ungguli STL 2024 GP Selangor
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
- Senarai Penuh Pemain Dalam Liga Premier STL 2024
Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah jelas langsung tidak merentap semangat juang trio berpengalaman itu.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka bangkit daripada aksi sedikit longgar pada peringkat awal untuk memenangi set pertama dengan keputusan 15-7.
Set kedua menyaksikan trio Terengganu yang dibarisi tekong berpengalaman iaitu Zulkefli Razak (menggantikan Teerapat Promnin), Sutthikiart Panseankaew (gantikan Khairul Aman Mohd Rosdi) dan Muhammad Zulhusni Basri (apit kiri) sedikit memberikan tekanan.
Mereka mengheret aksi berlangsung hingga 25 minit tetapi masih belum mampu untuk menghalang kejayaan buat KL Thunder yang menang 15-11 untuk sekali lagi dinobatkan selaku juara.
Sementara itu, PDRM Defenders memperbaiki kedudukan apabila meraih tempat ketiga selepas menundukkan Penang Black Panthers 15-8, 15-11.
Selepas berakhir dua GP, KL Thunder cukup selesa mendahului 11 pasukan lain dimana mata keseluruhan dikumpul mereka setakat ini ialah 64 mata.
Manakala, PDRM Defenders menduduki tempat kedua dengan 35 mata dan Terengganu Turtles ketiga hanya kekurangan satu mata.
Tumpuan selepas ini akan terarah ke GP Perak yang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Oktober di Stadium Indera Mulia, Ipoh.