Terengganu Turtles tidak terlalu berdepan kesukaran untuk menundukkan Bomba Fighters 2-0 pada aksi kumpulan C Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.

Menamatkan GP pertama di laman sendiri sebagai pasukan tangga ketujuh, Terengganu Turtles membariskan Muhammad Zulkifli Razak selaku tekong, Khairol Zaman Hamir Akbar (apit kanan) dan Muhammad Zulhusni Basri (apit kiri) pada perlawanan ini.

Baca Juga:

Bomba Fighters pula menyandarkan harapan kepada tekong iaitu Irsyad Faiz Aziz (Chancai Sarika), Rusdee Leerem dan Rizani Ruzaini sebagai apit kanan serta Nik Muhammad Afiq Mazlan (apit kiri).

Terengganu Turtles

Terengganu Turtles Bermula Garang

Terengganu Turtles memulakan aksi dengan garang apabila mendahului Bomba Fighters dengan kedudukan 6-2 dan kemudiannya melebarkan penguasaan kepada 13-7.

Walaupun Bomba Fighters cuba untuk bangkit melawan tetapi Terengganu dengan tenang mendapatkan mata untuk menang 15-9.

Set kedua turut memperlihatkan Bomba Fighters cuba memberikan saingan terutamanya ketika bangkit daripada ketinggalan 2-5 hingga berjaya mengikat kedudukan 5-5.

Terengganu Turtles

Namun, kesilapan demi kesilapan dilakukan walaupun sudah melakukan pertukaran memberikan ruang luas buat Terengganu untuk mengesahkan kemenangan dengan 15-8.

Terengganu Turtles akan melangkah ke separuh akhir sekiranya berjaya menundukkan Perak Bison pada aksi kedua yang bakal berlangsung jam 8.00 malam esok.

Sekiranya tewas, mereka perlu menunggu keputusan antara Perak Bison dan Bomba Fighters pada Jumaat nanti.