Pengasas dan Presiden AUF MBZ, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mahadi didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.

Kesalahan adalah mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Memetik laporan itu lagi, peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan.

Menurut beliau, jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggut panjangnya berkemungkinan dipotong dan akan memberi kesan kepadanya.

Pada masa sama beliau menjelaskan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko untuk melarikan diri.

Tambah beliau lagi, Mahadi turut menanggung ibunya yang menghidap kanser dan tahap kesihatannya tidak menentu, selain menanggung keluarga mentuanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah menimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Mahadi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Sumber