Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan pihaknya hanya akan membayar pengadil mengikut kadar yang mampu ditanggung.
Beliau menjawab isu sebahagian pengadil Liga Hoki Malaysia yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diterima selain berdepan kelewatan dalam sistem pembayaran.
Baca Juga:
- Skuad Hoki Lelaki Malaysia Dibubar, Kontrak Jurulatih Ditamatkan
- Piala Dunia Hoki 5s 2024: Malaysia Cipta Sensasi Ke Final
- Info Siaran Langsung Final Piala Dunia Hoki 5s 2024 Malaysia vs Belanda
Subahan turut menegaskan mereka perlu mencari sukan lain kerana Hoki bukan tempat sesuai untuk pengadil tempatan cari duit lebih.
“Pengadil ini kebanyakannya mempunyai kerja sepenuh masa. Jadi jangan fikir tugas ini sebagai tempat untuk mereka cari rezeki kerana kita juga tak paksa dan mereka datang dengan rela hati.
“Kalau mereka mencari duit di sukan ini, saya minta mereka cari sukan lain kerana di sini bukan tempat cari duit,” katanya dalam Bernama.
Beliau turut memberi amaran keras kepada pengadil yang enggan berkhidmat dalam saingan liga hoki tempatan serta akan dihalang mengadili mana-mana pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Sesiapa yang merungut, mereka (pengadil), kita (KHM) tidak akan bawa ke peringkat antarabangsa. Kita juga mempunyai beberapa pengadil berkelas dunia tetapi bila minta mengadili perlawanan tempatan mereka tidak mahu tolong.
“Sesiapa sahaja yang tidak mahu mengadili perlawanan hoki tempatan saya akan buat surat kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) supaya mereka juga tidak dibenarkan mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika sidang media.
Bagaimanapun, Subahan memberi jaminan KHM memiliki pengadil yang mencukupi bagi mengendalikan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.