Lee Zii Jia mengakhiri kempen Sukan Olimpik 2024 dengan kisah gembira selepas membawa pulang pingat gangsa hasil kemenangan ke atas Lakshya Sen pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.
Kemenangan manis yang memastikan kem Malaysia menoktahkan perjuangan pada temasya kali ini dengan dua pingat gangsa.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Cemerlang Mara Ke Separuh Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Tempah Slot Ke Suku Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Mudah Ke Pusingan 16
Meskipun berdepan lawan yang berada di ranking ke-22 dunia, Zii Jia mempunyai rekod kurang baik ketika berdepan dengan wakil India ini dimana beliau hanya menang sekali pada lima pertemuan terakhir mereka.
Zii Jia juga dilihat berdepan kesukaran pada set pertama dengan kesilapan-kesilapan mudah dilakukannya sehingga menyebabkan beliau tewas 13-21.
Mendapat tonik berguna diberikan Wong Tat Meng pada waktu rehat, Lee Zii Jia mempamerkan aksi lebih bersemangat untuk menghalang Lakshya Sen daripada memperolehi kemenangan mutlak.
Semangat itu jelas dapat disaksikan untuk membolehkan Zii Jia mencatatkan kemenangan 21-16 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Kemenangan itu jelas menyemarakkan lagi moral anak kelahiran Alor Setar itu untuk tampil lebih berbisa dan tidak memberikan belas ihsan kepada Lakshya Sen untuk mengesahkan pingat gangsa menjadi miliknya hasil kemenangan mudah 21-11.
Kejayaan manis itu juga turut memperbaiki pencapaian Zii Jia yang tewas di tangan Chen Long pada pusingan 16 ketika temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Kejayaan Zii Jia, Aaron dan Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa memberikan indikasi jelas bahawa badminton sentiasa menjadi harapan kontinjen negara dalam temasya paling berprestij ini.