Kem badminton negara dalam Sukan Olimpik 2024, Paris terus ceria selepas pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke suku akhir hasil kemenangan dicatatkannya ke atas wakil tuan rumah, Toma Junior Popov sebentar tadi.
Berdepan pemain yang sudah empat kali ditewaskannya, Zii Jia bagaimanapun diberikan tekanan hebat pada set kedua tetapi masih mampu menyerap tekanan untuk sekali lagi menundukkan pemain Perancis itu.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Atasi Wakil India Untuk Ke Separuh Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Cipta Sejarah Ke Separuh Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Mudah Ke Pusingan 16
Hakikat itu diterjemahkan Zii Jia dengan kemenangan 21-13 pada set pertama meskipun Popov mendapat sokongan padu peminat sendiri serta masih segar dengan kejayaan mengejutkan Anthony Sinisuka Ginting di peringkat kumpulan.
Popov memberikan saingan hebat kepada Zii Jia pada set kedua hingga berjaya mengikat kedudukan 20-20 untuk mengheret aksi ke penentuan ‘deue’ dimana dua kali berjaya mendapatkan ‘game point’.
Namun, pengalaman jelas memihak Zii Jia yang bangkit dan mengesahkan kemenangan dengan mata 24-22.
Kemenangan yang diraih ke atas pemain ranking ke-20 dunia itu menyaksikan Zii Jia menempah pertemuan menentang Anders Antonsen dari Denmark di suku akhir nanti.
Berdasarkan rekod pertemuan menentang pilihan keempat kejohanan dan pemain ranking ketiga dunia itu, Lee Zii Jia mencatatkan tiga kemenangan dalam lapan aksi mereka.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada aksi suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menyaksikan Zii Jia meraih kemenangan ‘rubber set’ 21-15, 19-21, 21-11.
Pada edisi 2020 di Tokyo, Zii Jia tewas di pusingan 16 selepas dikecewakan oleh legenda China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.