Pasangan Pearly Tan-M. Thinaah menghidupkan kembali peluang untuk ke suku akhir acara beregu wanita Sukan Olimpik 2024 Paris selepas berjaya menundukkan Wakana Nagahara-Mayu Matsumoto, sebentar tadi.
Kemenangan itu turut mengubati kekecewaan mereka semalam yang tewas tipis kepada gandingan ranking nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Tang Jie-Ee Wei Bermula Baik Tundukkan Wakil Singapura
- Lee Chong Wei Kongsi Kisah Lucu Ketika Beraksi Di Olimpik
- Sukan Olimpik 2024: Zico Jadi Mangsa Rompakan Di Paris
Berdepan lawan yang kini menghuni ranking keenam dunia nyata memberikan cabaran sukar buat Pearly dan Thinaah sepanjang perlawanan berlangsung lebih satu jam.
Ia jelas dibuktikan meskipun ketinggalan 9-12 pada set pertama, gandingan Jepun yang merupakan juara dunia 2018 dan 2019 itu mempamerkan kebangkitan hebat dengan meraih tujuh mata berturu-turut.
Walaupun Pearly-Thinaah cuba untuk bangkit pada lewat aksi, Nagahara-Matsumoto tenang menyerap tekanan untuk mencatatkan kemenangan 21-18.
Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi lebih bertenaga sehingga berjaya memenangi set kedua 21-15 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Momentum cemerlang tersebut diteruskan pasangan nombor satu negara itu dimana mereka semakin bersemangat untuk mendahului 11-6.
Pearly dan Thinaah kemudiannya tidak lagi memandang ke belakang untuk mengesahkan kemenangan dengan jurang mata 21-16.
Ia merupakan kemenangan keempat dilakarkan Pearly Tan-M. Thinaah ke atas lawan tersebut dalam enam pertemuan sesama mereka di pentas antarabangsa.
Juara Terbuka Perancis 2022 itu akan turun pada Selasa depan untuk aksi terakhir peringkat kumpulan menentang wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Temasya di Paris ini merupakan penampilan sulung buat Pearly Tan-M. Thinaah dalam Sukan Olimpik yang menampilkan ramai pemain terbaik dunia.