Pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan pusingan awal (peringkat kumpulan) Sukan Olimpik 2024 dengan langkah kanan selepas menundukkan Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura.
Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah oleh pasangan suami isteri yang menghuni ranking ke-17 dunia itu terutamanya pada set pertama.

Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Zico Jadi Mangsa Rompakan Di Paris
- Netizen Anggap Pembukaan Sukan Olimpik 2024 Teruk Dan Membosankan
- Lee Chong Wei Kongsi Kisah Lucu Ketika Beraksi Di Olimpik
Ia jelas dibuktikan apabila kelebihan 20-16 dimiliki Tang Jie dan Ee Wei berjaya disamakan oleh Terry-Jessica untuk mengheret aksi ke mata ‘deuce’.
Namun, Tang Jie-Ee Wei lebih tenang menyerap tekanan hebat pada lewat aksi untuk mencatatkan kemenangan 23-21.
Cabaran lebih mudah di set kedua buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mendahului 11-5 pada rehat ‘interval’ dan momentum cemerlang itu diteruskan dengan kemenangan 21-12.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Tang Jie-Ee Wei ke atas Terry dan Jessica dimana sebelum ini mereka menang pada pusingan pertama Terbuka Switzerland 2024.
Tang Jie dan Ee Wei akan bertemu wakil Amerika Syarikat, Vincon Chiu-Jennie Gai pada aksi kedua yang dijadualkan berlangsung 5.00 petang esok.
Ini merupakan pentas Sukan Olimpik pertama buat Tang Jie-Ee Wei dan mereka pastinya mahu mengulangi pencapaian Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mara ke final edisi 2016 bagi acara tersebut.
Satu lagi pasangan yang turut berada dalam kumpulan ini ialah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merupakan gandingan ranking kedua dunia.