Selangor mahu menjadikan saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching, Sarawak pada Ogos ini sebagai medium terbaik untuk menamatkan kemarau pingat emas bagi acara futsal lelaki.

Futsal dipertandingkan dalam temasya SUKMA pada edisi 2011, 2013 dan 2018 tetapi Selangor gagal memungut sebarang pingat dalam tiga edisi tersebut.

Baca Juga:

Pencapaian terbaik kontinjen Selangor adalah mara ke separuh akhir edisi 2011 tetapi tewas kepada Negeri Sembilan 5-4 dan seterusnya tewas pula pada aksi penentuan pingat gangsa di tangan Sarawak.

Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Qusmaini Nur Rusli, Selangor dilihat mempunyai skuad yang cukup baik bagi menamatkan penantian itu.

Antara pemain yang dijangka bakal memperkuatkan pasukan Selangor ialah Syahir Iqbal Khan Akbar yang merupakan antara tonggak utama skuad futsal kebangsaan.

Selain itu, skuad gergasi merah juga turut diperkuatkan dengan kehadiran Ahmed Haziq Haikal daripada pasukan Selangor dan pemain pivot kental, Shah Alam City iaitu Zulkifli Abu Hassan.

Ketiga-tiga mereka berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bersama pasukan masing-masing.

Dato’ Bakhtiar Aliff bin Ibrahim (jersi merah)

Dalam pada itu, beberapa pemain meningkat naik kempen Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menyarung jersi UiTM dan KPTM turut berada dalam senarai awal pasukan.

Ketika dihubungi wakil The Vocket pada perlawanan persahabatan bertemu Nilai City tempoh hari, pengurus pasukan, Dato’ Bakhtiar Aliff bin Ibrahim menyatakan ini adalah peluang terbaik buat pasukan Selangor untuk muncul juara berikutan kehadiran pemain-pemain yang berkualiti.

“Kita harapkan pasukan kita untuk SUKMA 2024, ini adalah pasukan yang kita harapkan akan jadi yang terbaik buat pasukan Selangor.’’

“InsyaAllah sasaran kita adalah pingat emas pada edisi kali ini, saya rasa dengan beberapa bulan persiapan kita akan mantapkan lagi dengan persediaan-persediaan memang InsyaAllah bakal menjadi milik kita.’’

“Ada beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan, saya rasa mereka perlukan sedikit masa untuk serasi dan lebih mantapkan lagi pasukan ini.’’

“Kami begitu yakin pasukan ini akan menjadi pasukan gergasi pada temasya kali ini,’’ tambah beliau lagi.