Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersetuju semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal dalam padang.

Perkara itu dipersetujui oleh Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail yang juga pemiliki kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu pertemuan yang berlangsung semalam.

Baca Juga:

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman X, dalam pertemuan tersebut Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail juga menekankan perlu wujudnya perasaan saling hormat-menghormati serta perpaduan di luar padang.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor pada 1 Oktober 2024.

“Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Johor berkongsi pendapat tentang perpaduan dalam kalangan rakyat, profesionalisme di Malaysia dan kepentingan penyatuan Institusi Diraja untuk berkhidmat sebagai sebuah simbol negara.

“Turut dibincangkan adalah perkara berkaitan bola sepak, khususnya Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail bersetuju bahawa semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal di dalam padang sahaja dan wujudnya perasaan saling hormat-menghormati serta perpaduan di luar padang. Allah Peliharakan Sultan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor sedang rancak bersaing di persada Liga Super musim ini dan kedua-dua pasukan turut mewakili Malaysia dalam kejohanan Asia seperti AFC Champions League (ACL) Elite dan ACL 2.