Sepucuk surat daripada mendiang vokalis Linkin Park, Chester Bennington yang ditujukan kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin ditemui semula selepas lebih dua dekad disimpan.
Surat berkenaan ditemukan semula oleh bekas pengurus Siti, Rozi Abd Razak ketika sedang mengemas rumah.
Rozi kemudian berkongsikan penemuan tersebut menerusi Threads, sekali gus mengimbau kembali kenangan ketika dia dan Siti menghadiri MTV Asia Awards di Bangkok, Thailand pada 2005.
Menurut Rozi, surat berkenaan dihantar ke bilik hotel mereka dan disimpannya sehingga kini.
Rozi menulis di Threads: “Beberapa bulan lalu, saya ada cerita perkara ini sewaktu live bersama Datuk Siti Nurhaliza.
“Tengah saya mengemas, saya terjumpa semula surat dari mendiang Chester [Linkin Park] 21 tahun yang lalu.
“Surat ini sampai ke bilik hotel saya & Datuk Siti Nurhaliza, dan saya simpan sampai sekarang,” tulis Rozi yang menyatakan bahawa dia cuma mahu mengimbau kenangan dan tiada tujuan lain.
Dalam gambar yang dikongsikan, surat tersebut jelas ditujukan kepada “Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin” di bilik 1017.
View on Threads
Lebih menarik, nota ringkas yang ditulis Chester mempunyai satu permintaan khusus kepada Siti untuk memakai topi yang diberikan kepadanya ketika berada di atas pentas pada malam acara berkenaan.
“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binti Tarudin. Harap dapat memakai topi di pentas malam ini. Terima kasih.”
Pada MTV Asia Awards 2005, Siti berjaya memenangi kategori Favourite Artiste Malaysia selain turut membuat persembahan dalam acara tersebut.
Siti juga diperkenalkan sebagai “Voice of Asia” pada majlis berkenaan.
Siapa sangka dua artis yang berpengaruh di kalangan peminat muzik di Malaysia itu pernah berinteraksi dengan sepucuk surat.