Penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad mendedahkan beliau pernah berasa putus asa dengan bola sepak dan mempertimbangkan untuk berhenti bermain.
Menurut Syafiq, kemalangan ngeri yang dialami oleh beliau dan sekeluarga pada 2020 memberi kesan yang cukup besar terhadap dirinya.
Baca Juga:
- Sanusi Sedia Bantu Pemain Kedah Darul Aman
- Pemain Kedah Darul Aman ‘Rindu’ Dengan Gaji
- Kemenangan JDT Bantu Malaysia Pintas Australia Dalam AFC MA Ranking
“Untuk pengetahuan, saya hampir-hampir nak berhenti main bola. Betul saya cakap. Saya dah beritahu isteri saya. Kalau duduk kampung, duduk kampunglah. Saya buatlah kerja apa pun asalkan isteri saya gembira semula.
“Dia (isteri) kehilangan orang paling dia sayang. Anak dan ibu. Apa yang saya boleh katakan, saya memang kena cuba kuat bukan untuk diri saya tapi saya nak tengok isteri saya gembira semula, tengok dia sihat,” katanya.
Syafiq berkata niatnya pada ketika itu adalah untuk membawa isteri yang sedang berpantang anak kedua untuk berpantang di kampung di Kedah.
Namun kemalangan telah berlaku dimana kejadian itu telah meragut nyawa tiga individu iaitu ibu mertua Syafiq, anak kedua yang pada ketika itu baru berusia 23 hari dan seorang pembantu.
Musim ini, Syafiq Ahmad kembali beraksi bersama Kedah Darul Aman dalam saingan Liga Malaysia dimana beliau dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Setakat ini, pemain berusia 29 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super.
Syafiq juga dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente untuk menyertai kem latihan pusat bagi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Laos di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada Khamis, 14 November 2024 dan menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin, 18 November 2024.
Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama dua hari di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad dan Isnin ini, 10 dan 11 November sebelum berlepas ke Bangkok pada Selasa, 12 November 2024.
Selepas aksi bertemu Laos pada Khamis, 14 November, skuad Harimau Malaya akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin, 18 November 2024, sebelum pulang ke tanah air.
Dalam perlawanan sebelum ini, Malaysia tewas dengan keputusan 4-0 kepada New Zealand pada aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland.