Pada hari semalam Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah membatalkan lesen operasi syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang terpalit dengan kontroversi membabitkan pengedaran stoking tertera kalimah Allah.

Tindakan diambil MPBP itu selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil 13 (2) dan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPBP) 2016.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menerusi satu hantaran Facebook, pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan, ia dilakukan selepas syarikat terbabit didapati melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan iaitu stor dan pengedar kasut.

Sumber Gambar: Facebook Majlis Perbandaran Batu Pahat

Notis itu diserahkan oleh Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin kepada Pengarah Urusannya, Soh Hui San di Menara MPBP, Jalan Rugayah di sini, semalam.

Semalam, kilang terletak di kawasan perindustrian Sri Gading di sini, menutup operasi melalui satu memo yang ditampal pada kain rentang di pagar premis itu.

Ia sehari selepas kilang terbabit diserbu polis yang menemukan lima pasang stoking dengan kalimah Allah di dalam premis terbabit.

Kilang yang beroperasi sekian sejak lama itu terbabit dalam aktiviti pembungkusan dan pengedaran stoking yang diimport dari China terutama kepada kedai serbaneka KK Super Mart.

Tindakan itu menyebabkan pelbagai pihak bangkit dan menuntut pengurusan kilang serta kedai serbaneka itu memohon maaf.

Disebabkan isu terbabit, Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bersepadu Negeri bagi pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh isu persendaan agama Islam termasuk kalimah Allah.

Pada masa sama, satu garis panduan khas dirangka bagi menggariskan bagaimana perniagaan di negeri ini perlu dijalankan dalam suasana mesra agama serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart, Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna, menyebabkan kemarahan umat Islam di negara ini.