Pasangan muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mencipta sensasi pada perlawanan pusingan 16 Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023 yang berlangsung di Lucknow, India semalam.

Ia berikutan kejayaan mereka mengejutkan pasangan beregu ranking ke-24 dunia, Marvin Seidel-Mark Lamsfuss yang juga merupakan pilihan keempat kejohanan.

Baca Juga:

Hon Jian yang boleh dianggap sebagai senior buat Haikal dilihat memainkan peranan penting dalam mengawal permainan serta mengimbangi kekuatan lawan dari Jerman tersebut.

Set pertama bagaimanapun menyaksikan Seidel dan Lamsfuss sukar digugat apabila mereka mudah memenangi perlawanan dengan 21-11.

Namun bagaikan mendapat tonik berguna pada rehat set pertama, Hon Jian dan Haikal mempamerkan kebangkitan dengan corak permainan lebih menarik ditampilkan.

Perubahan itu jelas dapat disaksikan apabila mereka tidak memberikan ruang buat Seidel dan Lamsfuss untuk menjarakkan mata dengan terlalu jauh.

Ketenangan dalam menyerap tekanan terutamanya dengan peningkatan prestasi ditampilkan Haikal akhirnya membuahkan hasil buat pasangan negara itu untuk menang set kedua 25-23 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Kemenangan set kedua itu jelas meningkatkan moral gandingan yang berada di ranking ke-93 dunia itu sehingga membuatkan Seidel-Lamsfuss pula berada dalam tekanan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh pasangan negara untuk mudah memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-10.

Menanti mereka di suku akhir yang bakal berlangsung petang ini ialah rakan senegara, Yap Roy King-Wan Muhammad Arif Wan Junaidi.

Aksi yang mengesahkan satu slot di separuh akhir sudah pasti menjadi milik wakil dari Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Selain daripada aksi sesama sendiri tersebut, tiga lagi wakil negara akan turut beraksi hari ini dimana Soong Joo Ven akan berdepan Alex Lanier dari Perancis bagi acara perseorangan lelaki, Wong Ling Ching menentang Wen Chi Hsu (perseorangan wanita) dan gandingan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bertemu wakil Chinese Taipei iaitu Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen.

Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2023 merupakan pertandingan yang berstatus Super 300 dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).