Malaysia gagal mengutip sebarang mata pada aksi pembukaan kumpulan E temasya Piala Asia 2023 Qatar dimana dua pemain iaitu Syihan Hazmi dan Junior Eldstal menjadi bahan perbincangan peminat bola sepak tanah air.

Anak buah Kim Pan-gon terpaksa menelan kekalahan 4-0 di tangan Jordan sekaligus menempah laluan berliku sekiranya mahu layak ke pusingan seterusnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut perkongsian Youth Football Malaysia di laman media sosial X, mereka menyenaraikan kesilapan serta kelemahan yang ada terutamanya dari Syihan dan Junior Eldstal.

Syihan sepatutnya boleh menyelamatkan gol pertama Jordan yang dijaringkan oleh Mahmoud Al-Mardi. Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) berada sedikit di hadapan sekaligus memudahkan Al-Mardi untuk melepaskan rembatan jarak jauh dan mencipta jaringan.

Seterusnya, double defending di sebelah kanan yang lambat menyaksikan pemain sayap lawan mudah untuk menewaskan ketua pasukan, Matthew Davies sekaligus masuk ke dalam kawasan penalti Malaysia.

Dion Cools dilihat jauh lebih efektif apabila diletakkan di sebelah kanan di posisi pertahanan tengah berbanding sebelah kiri ketika awal permainan.

Selain itu, Junior dianggap terlalu perlahan untuk menggerakkan bola di kawasan sendiri selepas menerima hantaran dari rakan sepasukan. Afiq Fazail pula ‘hilang’ ketika cuba melakukan gerakan serangan ataupun ketika bertahan.

Pemain naturalisasi terbaru negara, Romel Morales sangat tidak sesuai diletakkan di bahagian sayap dan hantaran tinggi kepada Faisal Halim dan Darren Lok amat mudah dipatahkan oleh pertahanan lawan yang mempunyai ketinggian lebih baik berbanding dua pemain itu.

Akhir sekali, Pan-gon tidak membuat pertukaran posisi untuk Arif Aiman ketika pemain itu tidak diberikan ruang untuk bergerak di bahagian kanan.

Kekalahan terhadap Jordan meletakkan Malaysia di tangga terbawah kumpulan E manakala pasukan lawan ketika ini berada di tangga teratas.

Pasukan negara perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Bahrain untuk menghidupkan peluang bagi mara ke peringkat seterusnya.