Bintang dunia, Cristiano Ronaldo seperti diketahui cukup berdisiplin dalam menikmati hari-harinya sebagai seorang pemain profesional walaupun sudah berusia 40 tahun.
Disiplin tersebut bukan sekadar terhad di atas padang tetapi merangkumi setiap aspek dalam hidupnya daripada pemakanan, rutin tidur, sehinggalah kepada rejim kecergasan yang ketat dan konsisten.
Baca Juga:
- Ini 5 Perkara Dilakukan Cristiano Ronaldo Pastikan Fizikal Dalam Keadaan Optimum

- Ini Sebab Cristiano Ronaldo Pilih Untuk Tak Hadir Ke Pengebumian Diogo Jota

- Ini Pandangan Cristiano Ronaldo Terhadap Lamine Yamal

Walaupun sebahagian besar pemain seusianya sudah menggantung but, Ronaldo kekal relevan dan masih menjadi tonggak utama buat kelab serta negaranya.

Beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi muda, tetapi turut membuktikan bahawa usia hanyalah angka jika diiringi dengan kerja keras dan ketekunan luar biasa.
Tabiat Cristiano Ronaldo Sebelum Tidur
Malah, menurut perkongsian bekas rakan sepasukannya, Cedric Soares, Ronaldo langsung tidak membenarkan telefon bimbit berada dalam bilik kerana tidak mahu diganggu gelombang elektromagnetik 5G semasa tidur.
“Dia akan berhenti menggunakan telefon bimbit pada waktu-waktu tertentu. Dia kata ia boleh menjejaskan tidurnya, jadi dia akan tinggalkan telefon di luar bilik tidur.”

“Pernah satu ketika dia cakap pada saya, ‘Cedric, kau tak boleh guna 5G sebab ia boleh ganggu tidur.’ Itu masa 5G baru diperkenalkan.”
“Saya tak pasti kalau dia masih buat macam tu sekarang, tapi dulu dia siap sekat isyarat 5G supaya dapat tidur beberapa jam dengan lena,” ujar Soares menurut sumber laporan Goal.
Cristiano Ronaldo mungkin bukan mangsa kepada teori konspirasi, tetapi maklumat palsu memang berleluasa ketika kemuncak pandemik COVID-19 dahulu termasuk dakwaan tidak berasas bahawa rangkaian 5G boleh melemahkan sistem imun manusia dan bahawa virus itu boleh disebarkan melalui gelombang 5G.