Setelah mendakwa bahawa tali leher adalah simbol salib, Taliban kembali lagi di dada akhbar apabila bertindak membakar alat muzik secara terbuka. Kali ini, alasannya adalah alat muzik adalah suatu perkara yang tidak bermoral dan tidak cukup Islamik, lapor Sky News.

Agensi berita Taliban, Bakhtar melaporkan bahawa pemimpin tempatan, Aziz al-Rahman al-Muhajir, ketua pihak berkuasa tempatan Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat di Herat telah bertindak membakar alat muzik di wilayah barat Herat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Muhajir berkata, peralatan itu, termasuk gitar, harmonika, dan pembesar suara, telah dirampas di beberapa bandar dan lokasi lain di seluruh wilayah tersebut sebelum dibakar. Dia juga mengeluarkan amaran bahawa jika didapati sesiapa yang menjual alat muzik akan berdepan hukuman berat oleh kumpulan itu.

Tindakan keras itu adalah sebahagian daripada usaha Taliban untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah. Kumpulan Islamis, yang telah bertanggungjawab ke atas negara itu sejak Ogos 2021, menganggap semua muzik sebagai “haram”, kecuali untuk genre lagu militan yang dikenali sebagai Nasyid.

Selain itu, para wanita pula telah diharamkan daripada pergi kerja, sekolah dan universiti seterusnya mengekang hak mereka. Bulan lalu, salun kecantikan di seluruh negara itu turut diarah ditutup.

Muhajir berkata bahawa alat muzik yang dibakar menyebabkan “kesombongan di kalangan belia dan rasuah dalam masyarakat di Afghanistan.” Taliban melakukan satu lagi pembakaran alat muzik di Kabul awal bulan ini.

Sejak Taliban merampas negara itu daripada kerajaan yang disokong Barat hampir dua tahun lalu, Afghanistan telah mengalami kemelesetan ekonomi yang serius.

Masyarakat antarabangsa memutuskan hubungan dengan Afghanistan selepas memberi amaran supaya mengelak daripada menguatkuasakan dasar agama yang ketat yang menjadikan kumpulan itu sebagai paria semasa pertama kali berkuasa pada 1990-an.