Kapten skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dilihat cukup pasrah dengan prestasi buruk ditampilkannya ketika saingan Piala Asia B-23 2024.

Malaysia yang berada dalam satu kumpulan bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait tewas pada ketiga-tiga perlawanan dan hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Haqimi Azim Rosli.

Baca Juga:

Mendapat kritikan hebat penyokong bola sepak tanah air, Mukhairi tanpa berselindung turut mengakui dirinya tidak bermain dengan baik sepanjang kejohanan tersebut.

Beliau juga kelihatan cukup kecewa ketika ditemubual wartawan Astro, Fadhirul Suhaimi sebaik sahaja tamat perlawanan bertemu Kuwait, awal pagi tadi.

“Saya memang kecewa dengan diri saya sendiri. Ini merupakan [kejohanan] AFC yang kedua dan yang terakhir buat saya. Bukan hari yang baik untuk saya.”

“Mungkin bukan dekat sini yang terbaik untuk saya, mungkin di tempat lain. Saya tahu orang tak suka dengan saya, tak mengapa saya harap benda ini dapat perbaiki diri saya.”

“Saya rasa saya bermain dengan teruk pada setiap perlawanan. Lagipun kita masih belum bermula musim, jadi kita tiada ‘match fitness’ yang baik.”

“Tetapi orang mengharapkan saya, mereka ingat saya seorang sahaja bermain dalam padang, kerana saya dah lama [bermain] saya kena bertanggungjawab sebagai seorang kapten,” ujar Mukhairi menurut sumber laman Twitter Astro Arena.

Saingan kumpulan D menyaksikan Uzbekistan dan Vietnam berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

Sumber