Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berpendapat jumlah kehadiran pemain import yang bertambah haruslah seiring dengan kualitinya sekali gus akan meningkatkan lagi mutu Liga Malaysia di tahap lebih memuaskan.

Itulah yang ditegaskan oleh beliau selepas menyaksikan pertambahan 6 pemain import di atas padang ( 4+1 (Asia)+1 (Asean) dengan seorang di bangku simpanan merupakan satu cabaran baharu yang dilihat akan memberi kelainan kepada sesebuah kelab.

Baca Juga:

Menjadi tanggungjawabnya selaku jurulatih untuk menilai kualiti anak buahnya tidak kira pemain tempatan atau pun import dan beliau secara peribadi percaya perubahan ini akan memberi impak positif kepada peningkatan Liga Malaysia selepas ini.

“Ini adalah perkara yang baharu dalam Liga M dan saya menyahut cabaran tersebut di mana sudah tentu ini akan beri peluang kepada pemain tempatan dan import untuk terus bersaing secara sihat.

“Pemain tempatan sudah tentu kena pastikan mereka mampu untuk merebut kesebelasan utama dan kalau kelab mampu untuk dapatkan 10 pemain import juga, saya tiada masalah.

“Dan kalau kita dah ambil pemain import, tetapi mereka tidak boleh beri impak terbaik, saya kena guna pemain tempatan juga.

“Selain itu, saya percaya kemasukan ramai pemain import berkualiti mampu melonjakkan lagi kualiti permainan sekali gus akan lahirkan ramai pemain yang lebih kompetitif,” tambah Tan Cheng Hoe lagi.

Selangor antara pasukan yang boleh mengikat 10 pemain import apabila bakal bersaing di pentas AFC iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2).

Selangor FC akan kembali memulakan latihan bersama barisan pemain secara rasmi pada 5 Februari (Isnin).