Kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025 bagi Divisyen 1 kini mempunyai tujuh pasukan yang pasti beraksi dalam saingan tersebut iaitu terdiri daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers, Sabah, Kedah, Malaysia University dan KL City.
Manakala, status TOT United masih menjadi tanda-tanya ekoran masalah tunggakan gaji melibatkan pasukan tersebut pada musim lalu dikatakan memberikan sedikit masalah buat mereka untuk turut serta dalam kancah futsal paling berprestij tanah air itu.
Baca Juga:
- Belasah KL City, JDT Muncul Juara MPFL Divisyen 1 2024
- MPFL 2024: JDT ‘Robohkan’ Kubu Kebal Pahang Rangers Di Kuantan
- Skuad Futsal Kelantan Muncul Juara MPFL Divisyen 2 2024
Sekiranya TOT United berjaya memenuhi segala ketetapan diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ia sekali gus menyaksikan lapan pasukan akan berentap bagi memburu kejuaraan.
Jumlah yang sama dapat disaksikan seperti edisi tahun lalu walaupun dua pasukan iaitu Terengganu dan Shah Alam City memilih untuk menarik diri.
Saban tahun akan dapat disaksikan satu demi satu pasukan menarik diri daripada persaingan ekoran bebanan kewangan besar yang terpaksa ditanggung dengan format ‘home away’ ini.

Sejarah MPFL sejak diperkenalkan pada 2019
Penjenamaan daripada Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang diadakan secara karnival kepada MPFL pada 2019 memberikan perubahan terhadap jumlah pasukan bertanding.
Dapat dilihat pada 2019, sembilan pasukan bertanding pada edisi pertama dimana format ‘home away’ sudah pun diperkenalkan.
Edisi 2020 menyaksikan 12 pasukan mengesahkan penyertaan tetapi hanya satu perlawanan diadakan ekoran serangan wabak Covid-19 yang melanda dunia hingga menyebabkan kejohanan dibatalkan.
Kembali semula selepas dua tahun menyepi, MPFL diadakan secara karnival di Kompleks Sukan Negara, Panasonic Shah Alam dimana sebanyak 15 pasukan bersaing dalam liga satu pusingan bagi merebut kejuaraan yang akhirnya dimenangi Selangor buat kali kedua.
Perubahan format pada 2023 dengan 14 pasukan dipecahkan kepada dua kumpulan dan kemudiannya empat pasukan terbaik akan beraksi di peringkat aksi suku akhir.
Dengan hanya lapan pasukan yang mengesahkan penyertaan untuk musim 2024, liga dua pusingan diadakan untuk menentukan juara manakala 12 pasukan menyertai Liga Divisyen 2.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Tarik Penyertaan Banyak Pasukan Ke MPFL Divisyen 1?
Perkara ini mungkin dianggap banyak pihak terutamanya buat pasukan bertanding sebagai satu langkah ke belakang, namun pendekatan karnival adalah antara salah satu cadangan terbaik setakat ini.
Malah, ada yang turut menyatakan ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik buat pasukan-pasukan bertanding.
Namun, hal ini setidak-tidaknya dapat mengurangkan kos daripada aspek penyewaan stadium untuk satu-satu perlawanan dimana ia merupakan perbelanjaan terbesar perlu ditanggung.
Satu perlawanan di tempat sendiri, ribuan ringgit perlu dikeluarkan oleh pasukan tuan rumah untuk sewaan gelanggang perlawanan, pembayaran untuk kemudahan lain di gelanggang tersebut seperti sistem siaraya, papan jaringan (scoreboard), ambulans, ‘budak milo’ dan sebagainya.
Mungkin dengan cara karnival ini, FAM dan pasukan dengan sumber kewangan yang boleh dianggap besar seperti JDT, Selangor dan Pahang Rangers dapat menjadi tuan rumah kepada karnival ini.
Lakukannya secara berjadual sepertiĀ yang dipraktikkan dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia (PFL). Malah, peringkat awal kempen liga futsal di Thailand juga menggunakan pendekatan sedemikian.
Dengan perbelanjaan yang lebih berjimat, mungkin pasukan tidak berkemampuan tinggi masih boleh bersaing dalam memberikan lebih banyak perlawanan kompetitif buat liga divisyen 1 negara itu.
Penyokong juga beruntung dapat menyaksikan banyak perlawanan berkualiti dan tidaklah terus pulang ke rumah masing-masing hanya selepas menonton satu aksi sahaja seperti format ‘home away’.
Tahukah Anda!
Melihatkan kepada beberapa liga utama di Asia, Malaysia, Vietnam dan Brunei mempuyai pasukan paling sedikit dengan penyertaan lapan pasukan.
Dapat disaksikan Thailand dan Iran mencatatkan penyertaan pasukan terbanyak dengan 14 pasukan manakala Itali serta Iraq pula dengan 16 pasukan.
Sementara itu, Jepun, Uzbekistan dan Indonesia pula menampilkan 12 pasukan.
Tinjauan bagi skop lebih jauh, Brazil mempunyai 24 pasukan dalam saingan liga utama di sana.
Bukan mahu membuat perbandingan tetapi jumlah pasukan yang banyak dalam saingan liga akan memberikan lebih impak positif kepada perkembangan futsal di Malaysia
Saingan akan menjadi sengit selain dapat meningkatkan lagi populariti futsal, ia dapat memberikan ruang seluas-luasnya buat pemain muda untuk merasai pengalaman beraksi di peringkat lebih tinggi.
Namun, pasukan yang bersaing perlulah serius dalam isu pembayaran gaji dan sebagainya agar masalah tersebut tidak membarahi dalam futsal.
Kesimpulan
Memang kata-kata dan cadangan ini mudah untuk dilontarkan tetapi secara fikirlah sedalam-dalamnya implikasi daripada pendekatan ini yang jelas boleh membantu dalam mengurangkan beban pasukan.
Bukan semua pasukan berkemampuan, namun, dengan pendekatan yang betul, peningkatan bilangan pasukan boleh memberikan manfaat yang besar kepada sukan futsal negara.

Kerana kekangan kewangan juga menyebabkan juara MPFL Divisyen 2, Kelantan tidak berhasrat untuk menyertai divisyen 1.
Sehubungan dengan itu, perancangan yang teliti dan kerjasama antara pelbagai pihak, idea menambah jumlah pasukan dalam liga futsal negara dapat memberikan impak positif kepada perkembangan futsal di Malaysia dalam jangka masa panjang.