Presiden kehormat Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima secara rasmi mengemukakan pencalonan untuk mencabar Gianni Infantino bagi merebut jawatan Presiden FIFA.

Tashima difahamkan berjaya memperoleh sokongan yang diperlukan daripada lima persatuan bola sepak kebangsaan sekali gus menyertai senarai pencabar yang mahu membawa perubahan terhadap badan induk bola sepak dunia itu.

Kejayaan memenuhi syarat tersebut membolehkannya secara rasmi mencabar Infantino yang kini menyandang jawatan tersebut.

Infantino kini sedang memburu pemilihan semula bagi penggal keempat sebagai presiden badan induk tersebut. Undian penting itu dijadualkan berlangsung pada kongres ke-77 di Rabat, Maghribi pada 18 Mac depan.

Tashima Intai Peluang Jadi Presiden FIFA

Tashima telah berkhidmat dalam Majlis FIFA sejak 2015 dan membawa pengalaman luas untuk kempen pencalonannya.

Bekas pemain antarabangsa Jepun yang pernah menjadi jurulatih skuad muda negara itu turut menggariskan visi jelas untuk melakukan pembaharuan terhadap badan induk bola sepak dunia berkenaan ketika mengumumkan hasratnya.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan keazaman, saya akan menyahut cabaran ini bagi memastikan FIFA menjadi sebuah organisasi yang lebih sihat dan dipercayai.”

“Perkara paling utama, saya percaya tadbir urus yang baik perlu diwujudkan dan ketelusan mesti sentiasa dipelihara,” ujar Tashima menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).