Pengaruh Gianni Infantino dalam pentadbiran bola sepak dunia kini berdepan cabaran paling besar apabila seorang tokoh berprofil tinggi dari Asia bersedia untuk menyertai persaingan merebut jawatan Presiden FIFA.
Kozo Tashima, Pengerusi Kehormat Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) secara rasmi mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak dunia itu.
Menurut sumber laporan Goal, Tashima sudah mengesahkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden FIFA.
Tashima Mahu Cabar Infantino Rebut Jawatan Presiden FIFA
Pegawai dari Jepun itu muncul sebagai pencabar utama kepada Infantino yang menerajui badan induk bola sepak dunia sejak 2016.
Tashima menjadi individu kedua yang mengumumkan pencalonannya menjelang tarikh akhir pada 18 November ini, selepas bekas pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Ramon Vega dari Switzerland.
Walaupun peluang Vega untuk bertanding masih belum pasti berikutan syarat mendapatkan sokongan daripada lima persatuan ahli, Tashima dijangka tidak berdepan masalah sedemikian.
Bekas pemain antarabangsa Jepun itu merupakan figura yang cukup dihormati dalam arena bola sepak dan dipercayai mendapat sokongan strategik daripada UEFA.
Badan induk bola sepak Eropah itu dilaporkan semakin tidak berpuas hati dengan kepimpinan Infantino, khususnya susulan cadangan kontroversi untuk menjual sebahagian kepentingan hak komersial FIFA pada awal tahun ini.
“Saya bersyukur kerana dapat membuat pengumuman ini dengan sokongan penuh daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).”
“Ini bukan soal menang atau kalah, sebaliknya usaha untuk menyampaikan kepada dunia nilai kejujuran, kewibawaan dan integriti yang telah sekian lama menjadi pegangan bola sepak Jepun.”
“Nilai-nilai inilah yang diperlukan FIFA ketika ini dan telah kami pertahankan selama ini. Saya membuat keputusan untuk bertanding bagi membawa mesej ini kepada seluruh dunia,” jelasnya.
Tashima menyifatkan pencalonannya sebagai langkah penting untuk mengembalikan keseimbangan dalam organisasi yang dianggotai 211 persatuan bola sepak itu.
Beliau turut lantang menyuarakan keperluan untuk meningkatkan ketelusan dan mengamalkan proses membuat keputusan secara bersama, khususnya berkaitan masa depan kewangan sukan tersebut.
Beliau mahu FIFA kembali menjadi sebuah organisasi yang adil dan saksama, dengan pengagihan kekayaan dibincangkan secara terbuka dan bukannya ditentukan oleh sekumpulan kecil barisan eksekutif.
“Buat masa ini, tiada individu yang dilihat berani mencabar Presiden Infantino. Saya membuat keputusan untuk bertanding pada minggu lalu selepas berpendapat bahawa amat tidak wajar sekiranya beliau terus mendapat penggal baharu tanpa melalui proses pemilihan.
“Ini merupakan ujian untuk melihat sama ada FIFA mempunyai keupayaan untuk melakukan pembaharuan dari dalam. Kita perlu mengembalikan FIFA kepada landasan yang adil dan saksama,” kata Tashima.