Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi sokongan terhadap projek untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Perkara ini dikongsikan oleh pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang mengadakan pertemua dengan Infantino baru-baru ini.

Baca Juga:

“Presiden FIFA telah diberi taklimat mengenai projek skuad Harimau Malaya yang dimulakan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor dan ianya juga mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.

“Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional tersebut yang dikemudi DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan,” tulis Tunku Mahkota Ismail di laman X.

Revolusi skuad kebangsaan dimulakan dengan pelantikan Peter Cklamovski resmi dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior negara yang baru manakala Nafuzi Zain dipilih sebagai pengendali skuad B-23 Tahun.

“Peter Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

“Cklamovski yang kini berusia 46 tahun pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.

“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan ini bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

“Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa,” tulis FAM.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.

Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain-pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.