Industri penerbangan adalah antara yang paling terkesan sejak penularan wabak COVID-19 tahun ini.
Dengan sekatan perjalanan ke beberapa negara sudah pun dijalankan, beberapa syarikat penerbangan sudah pun mula mengambil beberapa langkah bagi menangani pandemik ini.
Tidak terkecuali adalah syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang baru-baru ini menawarkan cuti tanpa gaji selama tiga bulan kepada kakitangan mereka seperti dilaporkan theedgemarkets.com.
Untuk rekod, langkah itu dijangka akan memberi kesan kepada 13,000 kakitangan mereka termasuk pekerja yang berada di bawah pengurusan Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, MAB Engineering, Firefly dan MASwings.
Menurut Berita Harian, pekerja diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.
Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail pada Selasa lalu.
“Kami mengesahkan bahawa MAG menawarkan pilihan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kakitangan.
“Langkah ini adalah selaras dengan pengurangan operasi susulan pengurusan kapasiti ekoran penularan COVID-19,” katanya.
Bagaimanapun, apa yang menjadi perdebatan dalam kalangan netizen adalah apabila pihak pengurusan kanan syarikat pula tidak diberikan tawaran yang sama.
Berbeza dengan kakitangan biasa, pihak pengurusan kanan ini tidak ditawarkan cuti tanpa gaji manakala gaji mereka hanya akan dikurangkan sebanyak 10 peratus sahaja serta tidak akan menerima elaun.
“Hi MAS, saya berharap agar perkara sama turut dilakukan kepada pengurusan tertinggi anda.
“Ianya adalah sangat tidak adil bila pekerja barisan hadapan yang menerima gaji tidak seberapa ini dipaksa untuk mengambil cuti selama tiga bulan.
“Sementara pihak pengurusan yang dibayar dengan mahal dapat menikmati gaji mereka,” kata salah seorang netizen.
Manakala seorang lagi netizen berpendapat apa yang ditawarkan kepada pihak pengurusan kanan itu adalah layanan yang berbeza daripada apa yang diterima pekerja biasa.
Tetapi ada juga netizen yang memberikan pendapat sekiranya pihak pengurusan kanan ini juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji ia akan menyebabkan syarikat itu tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Kalau top management tak kerja tiga bulan siapa nak buat decision dan tandatangan kelulusan? Fikir guna lutut ke?” luahnya di Twitter.
Bagaimanapun, pemilik kiriman asal itu dilihat berpendapat agar layanan yang lebih adil diberikan kepada pekerja barisan hadapan ini seperti memberikan cuti bergaji.
Antara salah satu cadangannya adalah mungkin dengan menambah potongan gaji pihak pengurusan kanan tadi yang kemudiannya mungkin boleh menampung perbelanjaan syarikat untuk memberikan pekerja terjejas dengan cuti bergaji.
Walaupun cadangan itu dilihat boleh dilakukan, namun sudah pasti MAS sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman dalam industri penerbangan tempatan dan antarabangsa mempunyai sebab dan alasan yang tersendiri di atas keputusan mereka.
Mungkin ramai yang tidak tahu, sejak daripada penularan wabak COVID-19, syarikat itu sudah pun terpaksa membatalakan 2,000 penerbangan sejak sekatan perjalanan dilakukan oleh beberapa negara yang berada dalam rangkaian penerbangan mereka.
Malah MAS juga tidak bersendirian dalam hal ini apabila syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air dan Qantas juga turut dilaporkan mengambil pendekatan yang hampir sama dalam berhadapan dengan masalah yang dibawa oleh COVID-19.
Klik pautan di bawah untuk membaca perkongsian kami mengenai langkah yang diambil Malindo Air sebelum ini dalam menghadapi keadaan yang tidak menentu dalam industri penerbangan sejak penularan COVID-19.
Malindo Air Sedia Potong 50% Gaji Staf Berikutan Coronavirus
Promosi 6 Juta Tempat Duduk Percuma AirAsia Kembali Lagi Bermula Esok
CEO Ryanair Cetus Kontroversi Dengan Melabel Lelaki Muslim Sebagai Pengganas