Di sebalik kemeriahan dunia pempengaruh media sosial yang sering dikaitkan dengan gaya hidup mewah, tindakan personaliti popular, Kasih Iris Leona, baru-baru ini telah mencuri perhatian umum menerusi satu pendekatan yang amat terpuji.
Langkah dia menawarkan kadar upah yang adil dan kompetitif bagi jawatan penjaga booth bukan sekadar satu tawaran kerja biasa, malah ia merupakan satu kenyataan tegas terhadap kepentingan etika penggajian yang murni.
Menerusi hantaran terbaharu, Leona memaklumkan dia sedang mencari pekerja sambilan untuk menjaga booth Mekna pada minggu depan di Pasar Seni KL.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah penawaran gaji yang lumayan yang mencecah RM180 sehari untuk kerja selama 12 jam.
Hal ini kerana kadar tersebut dianggap lebih tinggi berbanding secara purata kadar pasaran yang ditawarkan hanya sekitar RM100 sehari.

“Nampak, sebenarnya boleh je kan letak gaji lebih RM120 untuk kerja 12 jam macam ni. Tapi kenapa mostly banyak booth yang tawar RM100 untuk pekerja sambilan ni? dah lah suruh kejar kpi bagai dan paling teruk ada tawar RM80 je,” tegas seorang netizen.
Dakwanya, inilah sebab mengapa warga asing mempelopori kerja sedemikian dan warga tempatan sering disalah ertikan sebagai terlalu cerewet dalam mencari pekerjaan walhal tidak berbaloi sama sekali.
Seorang lagi netizen turut meluahkan amarahnya berhubung tempoh pembayaran upah yang mengambil masa yang terlalu lama . Oleh itu, dia menasihatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu terma pembayaran upah supaya tidak menjadi mangsa eksploitasi.
“Tahun 2011 pun dah dapat rate mcm ni.. 2026 pun sama juga? Suruh je tokeh tu buat sendiri,” seloroh seorang lagi.
Sebahagian netizen juga berkongsi pendapat bahawa kadar upah pekerja sambilan di kawasan bandar seumpama Kuala Lumpur sepatutnya paling minimum adalah RM100 kerana kos sara hidup yang tinggi.
Tindakan Leona yang mengutamakan kebajikan pekerja dan menolak sebarang bentuk eksploitasi tenaga kerja telah mendapat pujian melambung daripada warga maya.
Di saat isu “gaji rendah” sering menjadi perdebatan hangat di pasaran kerja tempatan, keberanian beliau untuk bersikap telus dan pemurah dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang perlu dicontohi oleh majikan lain.