Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sensasi selepas berjaya melangkah ke pentas final dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2026.

Lebih manis kemenangan itu hadir selepas mereka mengejutkan pasangan ranking pertama dunia, Seo Seung Jae-Kim Won Ho pada aksi separuh akhir yang berlangsung tadi.

Kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa menghadapi aksi tiga set sebelum berjaya menundukkan pasangan unggul dari Korea Selatan itu.

Gandingan negara itu bermula dengan baik selepas menang 21-18 pada set pertama, namun Seung Jae-Won Ho tampil lebih bertenaga pada set kedua untuk menang 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Tuah akhirnya memihak Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-16.

Menanti mereka di final esok adalah pasangan Indonesia dimana Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang akan bertemu dengan rakan senegara, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terbuka Indonesia merupakan kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) berstatus Super 1000 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan serta mata ranking tinggi.