Kem negara cukup cemerlang pada aksi pusingan 16 Terbuka Jepun 2025 selepas tujuh daripada lapan wakil berjaya melangkah ke suku akhir.

Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjadi wakil pertama meneruskan kemaraan selepas menundukkan gandingan Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia 21-14, 21-17 dalam aksi selama 32 minit.

Baca Juga:

Langkah itu turut diikuti satu lagi pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit daripada tewas set pertama untuk menewaskan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia 17-21, 21-16, 21-12.

Skrip sama turut dihadapi Ong Yew Sin-Teo Ee Yi hasil kemenangan ‘rubber set’ ke atas wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 19-21, 21-14, 21-19.

Terbuka Jepun
Kredit Foto: Cheng Yiheng / Xinhua via AFP

Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong pula cemerlang dengan menumpaskan pasangan pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 15-21, 21-19.

Beregu lelaki utama negara yang merupakan juara bertahan Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin diberikan tentangan hebat oleh pasangan tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita sebelum mencatatkan kemenangan 21-19, 21-18

Manakala, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga berhempas pulas untuk mengenepikan cabaran pasangan China, Huang Di-Liu Yang 21-19, 14-21, 22-20.

Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil terakhir negara melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun hasil kemenangan ke atas pasangan Chinese Taipei, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu 21-14, 21-16.

Terbuka Jepun
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Sementara itu, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tidak mampu mengkis asakan hebat selepas tumpas mudah di tangan pasangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 9-21, 6-21.

Suku Akhir Terbuka Jepun 2025

Beregu Lelaki

1) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin

2) Man Wei Chong-Tee Kai Wun

3) Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong

4) Ong Yew Sin-Teo Ee Yi

Beregu Wanita

5) Pearly Tan-M. Thinaah

Beregu Campuran

6) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

7) Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai