Lima lagi wakil negara berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tujuh wakil Malaysia yang akan beraksi esok dimana salah satu daripadanya bakal melibatkan pertemuan sesama sendiri dalam acara beregu lelaki.

Baca Juga:

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menundukkan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dengan kemenangan 21-17, 22-20.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan Rasmus Kjaer-Frederik Soogard dari Denmark 20-22, 21-13, 21-13.

Sebelum itu, pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlebih dahulu mara ke pusingan seterusnya apabila beraksi cemerlang untuk menewaskan gandingan nombor 11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-17, 21-18.

Tang Jie-Ee Wei yang menghuni tangga kesembilan ranking dunia akan menanti pemenang antara Vinson Chu-Jennie Gai (Amerika Syarikat) dan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Dua lagi slot diisi pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Jin Wei beraksi dengan cukup baik untuk menewaskan pemain Chinese Taipei, Sung Shuo Sun 21-18, 21-11 manakala Peng Soon-Yee See mempamerkan kebangkitan hebat menumbangkan Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen 11-21, 26-24, 21-8.

Jin Wei akan menentang Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia dan pilihan kelima kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bakal menanti Peng Soon-Yee See.

Sementara itu, perjalanan empat lagi wakil negara di Terbuka Malaysia 2024 terkandas apabila Ng Tze Yong terpaksa menarik diri ketika kedudukan 8-12 ekoran kecederaan pinggang dialami.

Manakala, Anna Cheong-Teoh Mei Xing, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada lawan masing-masing.