Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie meneruskan kecemerlangan dalam saingan Terbuka Malaysia 2025 selepas berjaya menempah tempat ke separuh akhir hasil kemenangan ke atas Cheng Xing-Zhang Chi dari China.

Kemaraan yang sekali gus menamatkan penantian sektor beregu campuran dimana kali terakhir mempunyai wakil di separuh akhir pada 2019 menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Baca Juga:

Mendapat sorakan padu penyokong yang membanjiri Axiata Arena, pasangan suami isteri di ranking keenam dunia itu jelas berada pada mood terbaik untuk melakar kemenangan bermakna tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka beraksi dengan cukup kemas untuk mendahului sejak kedudukan 2-1 dan kemudiannya mencatatkan kemenangan set pertama dengan jurang 21-15 dalam tempoh masa 18 minit.

Pasangan China yang berada di ranking ke-11 dunia itu cuba untuk memberikan tekanan hebat sepanjang set kedua, tetapi Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menggunakan pengalaman luas mereka untuk mengesahkan kemenangan dengan 22-20.

Menanti mereka di separuh akhir esok ialah pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menumbangkan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 21-12, 14-21, 21-7.

Selepas ini, tiga lagi wakil negara akan turun beraksi apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bertemu pasangan adik beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berhadapan dengan jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.