Hajat untuk melihat pasangan beregu negara beraksi di pentas final kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 tidak kesampaian apabila ketiga-tiga wakil kecundang dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Sorakan padu para penyokong yang membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil dilihat masih belum cukup untuk membantu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Baca Juga:
- Jadual Aksi Pemain Negara Dalam Separuh Akhir Terbuka Malaysia 2025
- Terbuka Malaysia 2025: Axiata Arena ‘Terus Berpesta’, Man Wei Chong-Tee Kai Wun Pula Ke Separuh Akhir
- Terbuka Malaysia 2025: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei Turut Cemerlang Ke Separuh Akhir
Pasangan Soon Huat-Shevon yang terlebih dahulu turun beraksi pada sebelah petang gagal mengambil kesempatan menang set pertama ke atas gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran selepas tunduk 21-17, 12-21, 16-21.
Aksi kedua pula menemukan gandingan beregu campuran utama negara, Tang Jie-Ee Wei dan pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Tewas 19-21 pada aksi set pertama yang cukup mendebarkan, pasangan negara itu bagaimanapun seperti kehilangan punca pada set kedua hingga terpaksa menelan kepahitan kecundang 14-21.
Harapan terakhir yang disandarkan kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga tidak mampu direalisasikan pasangan ranking ke-14 dunia itu ketika berhadapan dengan Chen Bo Yang-Liu Yi.
Walaupun berdepan lawan di ranking ke-18 dunia dan pernah menewaskan wakil China itu pada aksi terdahulu, ia masih belum cukup buat Wei Chong-Kai Wun yang tewas 26-24, 21-16, 21-15 dalam tempoh 77 minit.
Tumpuan kem Malaysia selepas ini beralih dalam saingan Terbuka India di New Delhi yang merupakan pertandingan berstatus Super 750. Kejohanan tersebut akan bermula pada Selasa depan.