Beregu lelaki nombor enam negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melakar kejutan pada aksi pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Ia berikutan kejayaan mereka menundukkan pasangan ranking keempat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam aksi yang berlanjutan ke ‘rubber set’.
Baca Juga:
- Terbuka Malaysia 2025: 7 Wakil Negara ‘Kalah Berjemaah’, Hanya Tiga Pasangan Lepasi Halangan
- Ini Senarai Pemain Pilihan Yang Tersingkir Seawal Pusingan Pertama Terbuka Malaysia 2025
- Bumbung Axiata Arena Bocor Ganggu Kelancaran Terbuka Malaysia 2025
Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak hadir dengan mudah terutamanya pada set pertama apabila Yew Sin dan Ee Yi kelihatan bergelut untuk menangani aksi agresif lawan dari Indonesia itu.
Keadaan yang menyebabkan pasangan ranking ke-24 dunia itu tewas pada set pertama dengan jurang mata 15-21.
Kekalahan itu tidak sedikit pun merentap semangat juang Yew Sin-Ee Yi yang mendapat sorakan padu para peminat setia badminton negara di Axiata Arena.
Semangat juang tinggi ditampilkan mereka pada set kedua dengan aksi lebih tersusun untuk menang 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Ia jelas menjadi tonik yang cukup mujarab buat Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk memperagakan aksi lebih mantap pada set ketiga hingga memaksa Fajar Alfian melakukan banyak kesilapan mudah.
Wakil negara itu akhirnya menggamatkan stadium dengan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua hasil kemenangan 21-13.
Menanti Yew Sin-Ee Yi di pusingan kedua esok ialah pemenang antara wakil Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk dan Chen Zi Ray-Lin Yu Chieh dari Chinese Taipei yang akan beraksi sebentar lagi.
Sementara itu pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlebih dahulu mara ke pusingan seterusnya selepas menundukkan pasangan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai 21-15 21-19.
Manakala dua lagi wakil negara iaitu Goh Jin Wei dan Junaidi Arif-Yap Roy King tewas kepada lawan masing-masing.