Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui kesilapan yang dilakukannya hingga menyaksikan beliau tersingkir seawal pusingan pertama dalam kejohanan Terbuka Perancis 2024, awal pagi tadi.

Bertemu Magnus Johannesen yang berada di ranking ke-33 dunia, ia tidak langsung memberikan sebarang kelebihan buat Zii Jia pada perlawanan tersebut.

Baca Juga:

Sebaliknya pemain muda kelahiran Denmark itu sering membuatkan Zii Jia berada dalam tekanan hingga berjaya mencatatkan kemenangan 21-15, 21-19.

“Saya mungkin tidak begitu sabar dan melakukan banyak kesilapan mudah. Pukulannya ketika bertahan membuatkan saya hilang keyakinan.”

“Secara jujurnya saya tidak dapat mengawal permainan sepanjang aksi berlangsung,” ujar Zii Jia menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Magnus bermain dengan sangat baik hari ini, sejak dua tahun yang lalu dia mencipta keputusan yang baik serta berjaya melakukan beberapa kejutan ketika bertemu pemain ternama.”

“Dia menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup baik,” tambah pemain ranking ke-10 dunia itu lagi.

Kemenangan ‘straight set’ dilakarkan Magnus itu sekali gus menebus kekalahan mudah dialaminya ketika bertemu Zii Jia pada aksi Terbuka Jerman 2023 11-21, 5-21.

Sementara itu dalam perkembangan sama di Terbuka Perancis 2024, hanya tiga wakil negara mara ke pusingan kedua dimana harapan ketika ini disandarkan kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu pasangan kembar dari Chinese Taipei, Lee Fang-jen dan Lee Fang-chih manakala Wei Chong-Kai Wun pula berdepan tugasan sukar menentang gandingan nombor satu dunia iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula akan bertemu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.