Kempen pemain badminton negara di Terbuka Taiwan 2025 terus mencuri tumpuan dengan kemaraan Justin Hoh dan K. Letshanaa ke peringkat suku akhir.

Justin yang tidak terlalu diberikan harapan telah mempamerkan aksi cemerlang dalam menundukkan dua wakil tuan rumah iaitu Su Li-yang dan juara bertahan, Lin Chun-yi.

Baca Juga:

Petang ini pemain berusia 21 tahun itu akan berdepan satu lagi cabaran berat apabila pemain pilihan kelima kejohanan, Wang Tzu Wei menantinya.

Terbuka Taiwan 2025
Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa turut tampil dengan aksi cukup meyakinkan selepas membenam cabaran pemain pilihan kelima dari Taiwan, Chiu Pin-Chian dalam permainan berlanjutan hingga ke set penentuan.

Menantinya di suku akhir nanti ialah pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin yang merupakan pilihan kedua serta berada di ranking ke-15 dunia.

Sementara itu, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang berpisah buat sementara turut berjaya meneruskan kemaraan bersama pasangan masing-masing.

Terbuka Taiwan 2025
Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Ee Wei yang berpasangan dengan Loo Bing Kun akan beraksi menentang gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti manakala Tang Jie-Chan Wen Tse pula menanti cabaran satu lagi wakil Indonesia, Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti.

Berikut merupakan jadual penuh aksi suku akhir melibatkan pemain Malaysia:

Suku Akhir Terbuka Taiwan 2025

1) Chen Tang Jie-Chan Wen Tse lawan Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti – Gelanggang 4 – 4.00 Petang

2) Loo Bing Kun-Toh Ee Wei lawan Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti – Gelanggang 3 – 5.00 Petang

3) Justin Hoh lawan Wang Tzu Wei – Gelanggang 1 – 5.40 Petang

4) K. Letshanaa lawan Sim Yu Jin – Gelanggang 3 – 5.50 Petang

Terbuka Taiwan 2025 merupakan kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) dengan status Super 300.