Lee Zii Jia menyerap tekanan dengan baik untuk mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Thailand 2024 yang berlangsung di Nimibutr Stadium, Bangkok.

Beraksi menentang Lu Guang Zu dari China, pemain perseorangan utama negara itu terpaksa bertarung selama 66 minit dalam aksi cukup mendebarkan.

Set pertama menyaksikan Zii Jia tampil dengan cukup meyakinkan hingga membuatkan Guang Zu tidak mampu beraksi dengan baik untuk menang 21-13.

Namun, kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Zii Jia pada set kedua memberikan ruang kepada pemain ranking ke-19 dunia itu untuk mengheret aksi ke set penentuan dengan kemenangan 21-16.

Kekentalan mental beliau terbukti pada set ketiga dimana beliau beberapa kali bangkit daripada ketinggalan terutamanya ketika kedudukan  genting 10-14 dan 14-16.

Selepas terikat 17-17, Zii Jia yang merupakan juara Terbuka Thailand 2022 tidak memandang ke belakan lagi untuk mengesahkan kemaraan dengan keputusan 21-18.

Menanti Lee Zii Jia di separuh akhir esok ialah pemenang antara Chou Tien Chen yang akan berhadapan dengan Kodai Naraoka (pilihan kedua kejohanan) sebentar lagi.

Dua lagi wakil negara akan turun beraksi pada petang ini apabila Choong Hon Jian-Haikal Nazri bertemu wakil Chinese Taipei, Lu Ming-Che-Tan Kai Wei manakala Junaidi Arif-Yap Roy King pula berdepan tugas sukar menentang beregu nombor tiga dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Terbuka Thailand 2024 merupakan kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berstatus Super 500.