Gandingan Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan Junaidi Arif-Yap Roy King beraksi cemerlang untuk mara ke peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Thailand 2024.
Kemaraan dua gandingan semakin meningkat naik itu menyaksikan kem Malaysia mempunyai tiga wakil dalam saingan esok dimana Lee Zii Jia terlebih dahulu mengesahkan tempat pada petang tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Thailand 2024: Lee Zii Jia Mara Ke Suku Akhir
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Lee Chong Wei Bangga Anaknya Dapat A Dalam BM, Sekali Ini Kisah Di Sebaliknya
Berdepan Pharanyu Kaosamaan-Worrapol Thongsa-Nga yang mendapat sokongan padu tuan rumah jelas tidak menggentarkan semangat juan Hon Jian dan Haikal.
Mereka berjaya menyerap tekanan dengan baik untuk menewaskan lawan yang berada di ranking lebih rendah itu dengan kemenangan 21-17.
Set kedua menyaksikan api perjuangan mereka lebih menyala sekali gus mempamerkan aksi kemas untuk meneruskan perjuangan hasil kemenangan 21-10.
Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan oleh Hon Jian-Haikal ke atas lawan tersebut.

Menanti mereka esok ialah pasangan dari Chinese Taipei iaitu Lu Ming-Che-Tan Kai Wei yang menundukkan wakil Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 23-21, 18-21, 21-14.
Manakala, Junaidi-Roy King pula tidak terlalu berdepan masalah untuk mengalahkan pasangan ranking ke-34 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan ‘straight set’ 21-14, 21-13.
Meskipun mereka hanya di ranking ke-54 dunia, Junaidi dan Roy King telah menewaskan pasangan dari Denmark itu sebanyak tiga kali berturut-turut.
Mereka dijangka berdepan tugas getir apabila berkemungkinan besar akan bertemu jagoan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang sedang beraksi menentang pasangan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han.
Terbuka Thailand 2024 merupakan kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berstatus Super 500.