Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dilaporkan bakal memberikan kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) kepada Maghribi, sekali gus menyebabkan Senegal kehilangan gelaran yang mereka menangi di atas padang.

Menurut laporan Marca, keputusan berhubung pertikaian final AFCON antara kedua-dua negara itu dijangka diumumkan pada Selasa ini.

Senegal sebelum ini memenangi perlawanan akhir menentang Maghribi. Bagaimanapun, Maghribi kemudian memfailkan aduan selepas pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil.

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menerima bantahan tersebut dan memutuskan Senegal telah menarik diri daripada perlawanan. Susulan itu, CAF memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi menerusi keputusan pentadbiran.

Senegal bagaimanapun membawa kes tersebut ke CAS untuk mencabar keputusan CAF.

Kini, laporan Marca menyatakan CAS dijangka memihak kepada Maghribi, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai juara AFCON.

Jika keputusan itu disahkan, Senegal bakal kehilangan kejuaraan yang sebelum ini diraikan selepas kemenangan mereka dalam perlawanan akhir tersebut.

Perkembangan ini menjadikan perebutan takhta juara AFCON antara Maghribi dan Senegal antara kontroversi paling besar dalam sejarah bola sepak Afrika.

Ia juga akan menjadi sejarah perit untuk Senega yang akan kekal membekas buat selama-lamanya di hati peminat bola sepak mereka.