Skuad B-23 Tahun negara hanya mampu menamatkan saingan AFC B-23 Tahun di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Vietnam pada perlawanan kedua baru-baru ini.
Skuad bimbingan Juan Torres Garrido tunduk kepada Vietnam dengan keputusan 2-0 sekaligus menutup peluang untuk mara ke peringkat suku akhir dan mimpi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak menjadi kenyataan.
Selepas perlawanan, ramai pihak yang mengkritik corak permainan yang ditampilkan oleh skuad B-23 Tahun negara dimana mereka menganggap bagaikan tiada keatifiti dan sering mengharapkan hantaran jauh.
Youth Football Malaysia di laman media sosial X menulis mereka tidak meyangka ada ketua jurulatih dari Eropah yang menerapkan corak permainan hantaran jauh.
Apa guna rondo & small sided cuba keluar dari kawasan sempit setiap hari dalam latihan kalau bila game sebenar asyik hantar jauh kemudian nak harapkan second ball
— Youth Football Malaysia (@youthfootballmy) April 20, 2024
Pada aksi semalam, pasukan negata turun dengan misi untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan seterusnya, pemain negara bermula dengan baik susulan percubaan awal dilancarkan Fergus Tierney.
Tersentak dengan serangan tersebut, Vietnam kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik.
Peluang pertama hadir pada minit ke-18 selepas Vo Hoang Minh Khoa melakukan tandukan selepas menerima umpanan cantik rakan sepasukannya tetapi ditepis dengan baik Muhammad Azim Al Amin.
Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada minit ke-39 apabila sepakan percuma diambil Van Khang Khuat terus menerjah gawang skuad negara bagi meletakkan skuad kendalian Anh Tuang Hoan itu dihadapan.
Nooa Laine mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti diselamatkan Chuan Quan.
Vietnam menambah jaringan kedua ketika aksi memasuki minit ke-60 menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Minh Khoa.
Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil perlawanan dari Iran, Mooud Bonyadifard berikutan kekasaran dilakukan Ubaidullah Shamsul ke atas Vi Hao Bui.
Malaysia cuba bangkit dengan dua percubaan terbaik oleh dua pemain gantian iaitu Haqimi Azim Rosli dan Alif Izwan pada lewat permainan tetapi Chuan Quan cemerlang menggagalkan percubaan tersebut untuk memastikan Vietnam meraih kemenangan kedua berturut-turut.