Dengan baki 3 lagi perlawanan, Arsenal kini 6 mata di atas Manchester City dan memiliki perbezaan jaringan lebih baik.

Arsenal cemerlang menewaskan Fulham 3-0 di Emirates dalam usaha mereka memburu kejuaraan Inggeris ke-13 dalam sejarah kelab tersebut.

Gyokeres membuka tirai jaringan seawal minit ke-9.

Tidak lama selepas itu Calafiori menanduk masuk untuk gol kedua, namun VAR membatalkan gol tersebut kerana ofsaid.

Tetapi Bukayo Saka memastikan Arsenal 2 gol di hadapan apabila dia menewaskan bekas penjaga gol Arsenal, Bernd Leno di ‘near post’ pada minit ke-40.

Pada masa kecederaan separuh masa pertama, Gyokeres menambah 1 lagi gol untuk memastikan The Gunners melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan 3 gol tanpa balas daripada Fulham.

Pada separuh masa kedua, Gyokeres hampir mencetak hatrik pada minit ke-55, menerusi percubaan 1 lawan 1. Namun Leno cemerlang menafikannya.

Separuh masa kedua, Arsenal terus dominan. Pada minit ke-80. Calafiori hampir menjadikan kedudukan 4-0 apabila tandukannya terbias pada pemain lawan dan terkena palang.

Arsenal terus menunjukkan kualiti dan kestabilan mereka untuk mengelak daripada dibolosi kerana setiap bolos dan gol itu penting untuk mereka dalam usaha mahu menamatkan musim ini sebagai juara.