Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke pentas final kejohanan Thailand Masters 2024.

Diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, Tang Jie dan Ee Wei mengenepikan cabaran pasangan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito menerusi aksi ‘straight set’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tewas pada dua pertemuan terakhir bertemu lawan tersebut, Tang Jie-Ee Wei jelas tidak mahu merasai kekalahan ketiga apabila mereka tampil cukup garang pada set pertama.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu tidak memberikan banyak ruang buat Midorikawa-Saito untuk mencatatkan kemenangan 21-11.

Skrip berbeza disaksikan pada set kedua apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diberikan tentangan sengit pada set kedua dan ketinggalan sedikit jauh selepas rehat ‘interval’.

Namun, semangat juang tinggi ditampilkan anak buah Nova Widianto itu menyaksikan mereka mempamerkan kebangkitan hebat.

Ia jelas dibuktikan apabila Tang Jie dan Ee Wei mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir dengan kemenangan 21-17.

Menanti pasangan negara ini di aksi final esok ialah bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Ia merupakan pentas final keempat dinikmati oleh gandingan yang pernah muncul juara Orlean Masters dan Terbuka Taipei 2023 itu.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali dalam lima perlawanan melibatkan kedua-dua pasangan tersebut.

Thailand Masters 2024 merupakan kejohanan dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berstatus Super 300.