Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat rekaan cantik pada pakaian rasmi atlet negara di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak membawa sebarang erti jika gagal membawa pulang pingat emas.

Sebelum ini, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan pakaian rasmi atlet negara yang disifatkan sebagai buruk dan tidak cukup garang.

Baca Juga:

Namun begitu, Hamidin menjelaskan penggunaan warna emas berbanding jingga sebelum ini, bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

“Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna emas…warna jingga sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tukar warna lain.

“MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas, itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam… jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga,” katanya seperti dipetik dalam Bernama. 

Pakaian Rasmi Atlet Malaysia Untuk Olimpik 2024 Bakal Direka Semula?
Sumber Gambar: FB Olympic Council of Malaysia

Pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Pakaian ini akan dipakai oleh kontinjen negara sepanjang Sukan Olimpik berlangsung kecuali upacara pembukaan rasmi.

Hamidin juga menjelaskan bendera Malaysia berwarna emas yang terdapat di sebelah kiri pakaian tersebut sebenarnya merupakan logo rasmi MOM.

“Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah,” katanya.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas pihaknya berbincang dengan penaja dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.