Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone mengetepikan Lamine Yamal dan Kylian Mbappe untuk memilih Lionel Messi bagi anugerah Ballon d’Or 2026.

Sebaliknya beliau percaya prestasi luar biasa bintang Argentina tersebut di Piala Dunia pada usia 39 tahun mengatasi semua pencabar lain dalam saingan yang dibarisi barisan bintang terkenal.

Perdebatan itu kembali tercetus selepas pemain sayap Barcelona, Yamal baru-baru ini mendakwa bahawa dirinya dan Mbappe merupakan dua pemain terbaik dunia ketika ini.

Piala Dunia 2026
Kredit Foto: CHANDAN KHANNA / AFP

Bagaimanapun, Simeone menolak sepenuhnya dakwaan tersebut dan percaya aksi luar biasa pemain Inter Miami itu di pentas dunia masih tiada tandingan.

“Messi [akan memenangi Ballon d’Or 2026], tanpa ragu-ragu,” ujar Simeone menurut sumber laporan Goal.

“Selepas Piala Dunia yang dilaluinya, pada usia seperti sekarang, tiada keraguan langsung. Messi.”

Faktor utama di sebalik sokongan Simeone ialah kejayaan Messi memimpin Argentina ke final Piala Dunia 2026 sebelum tewas kepada Sepanyol.

Messi Lebih Layak Menang Ballon d’Or 2026

Bagi Diego Simeone, kemampuan rakan senegaranya itu mengekalkan prestasi bertaraf elit pada usia 39 tahun lebih utama berbanding pencapaian yang dicatatkan oleh Yamal, Mbappe, Rodri, Harry Kane atau Ousmane Dembele.

Pencalonan ini menandakan penampilan ke-17 Messi dalam senarai calon Ballon d’Or sepanjang kariernya, sekali gus meletakkannya hanya satu di belakang rekod Cristiano Ronaldo dengan 18 pencalonan.

Sepanyol
Kredit Foto: TIMOTHY A. CLARY / AFP

Pemain Argentina itu kali terakhir memenangi anugerah tersebut pada 2023, iaitu buat kali kelapan.

Majlis Ballon d’Or 2026 bakal menjadi edisi ke-70 bagi anugerah berprestij tersebut. Ia dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober di London.

Buat kali pertama dalam sejarah, majlis tersebut akan diadakan di luar Paris. Pemindahan lokasi ke England itu menjadi penghormatan kepada mendiang Sir Stanley Matthews yang memenangi edisi sulung anugerah tersebut pada 1956.

Sumber