Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan pihak yang menipu menjual makanan yang tidak berkualiti atau rosak, lebih-lebih lagi menipu pelanggan yang mahu membeli makanan di bazar Ramadan bagi berbuka puasa telah melakukan perbuatan haram.
Hukum perbuatan itu adalah haram di sisi syariat Islam. Di dalam Al-Quran, terdapat ancaman dengan ‘Neraka Wail’ ke atas peniaga yang menipu timbangan atau sukatan — perkara itu sama dengan situasi peniaga bazar Ramadan yang menipu makanan pelanggan, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- Wanita Jijik Murtabak Bazar Ramadan Ada Inti ‘Kain Buruk’
- ‘Tolak Makanan, Nak Duit Sahaja’ – Pelancong Dedah Wanita Ini Cuba ‘Scam’ Pengunjung Bazar Ramadan
- Harga Makanan Bazar Ramadan TTDI Tak Masuk Akal, Hanya Untuk Golongan T20
“Sehubungan itu peniaga dinasihati supaya takut kepada Allah SWT dalam urusan jual beli.
“Keuntungan yang sedikit tetapi diberkati lebih baik daripada keuntungan yang banyak tetapi mengundang dosa di samping tiada keberkatan di dalam kehidupan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, mengenai penipuan dalam bidang transaksi jual beli secara khusus, terdapat hadis di dalam Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud — ‘Barangsiapa menipu (dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami’.
“Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam perlu banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.
“Tetapi dukacitanya ada peniaga yang tergamak menjual makanan basi dan rosak di bazar Ramadan,” katanya lagi.
Wan Salim berkata, perbuatan itu termasuk dalam kategori tidak beretika yang sudah pasti hukumnya adalah haram.