Skuad Taiwan mendapat semangat tambahan apabila lebih 10,000 penyokong  negara itu dijangka hadir ke stadium pada aksi kedua  Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Malaysia malam esok.

Malah, mereka juga bakal ‘ditemani’ oleh sekumpulan pasukan sorak ibarat skuad pancaragam yang menggunakan alat muzik seperti dram dan trumpet bagi memeriahkan suasana perlawanan.

Baca Juga:

Tiup trumpet tersebut dilihat sebagai ‘senjata’ Taiwan bagi menganggu fokus pemain lawan kerana mampu mengeluarkan bunyi bising ketika perlawanan berlangsung.

“Kami percaya kehadiran penyokong sangat penting bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan. Kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri.

“Kali ini Haosyun akan mengetuai sorakan penyokong untuk menyuntik tenaga ke dalam pasukan Chinese Taipei , mengejutkan lawan dan mesti mempertahankan rekod gelanggang kita,” tulis kenyataan di laman facebook Persatuan Bola Sepak Taiwan (CTFA).

Berdasarkan rekod, Malaysia tewas dalam tiga perlawanan terakhir di gelanggang Taiwan sejak tahun 2000 termasuk yang terbaharu tunduk 0-2 pada aksi persahabatan pada September 2018.

Taiwan yang berada di ranking 157 dunia tidak boleh dipandang rendah walaupun mereka tewas 0-3 kepada Oman ketika perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026.

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon turut menjelaskan bahawa pasukan kejurulatihan sudah melakukan analisis terhadap skuad Taiwan dan berharap maklumat yang diperoleh dapat membantu Harimau Malaya meraih kemenangan.

“Pasukan analisis kami mempunyai maklumat termasuk berkenaan pemain naturalisasi Taiwan dan juga beberapa pemain mereka beraksi di China.

“Pemain Taiwan sangat berdisiplin, bekerja keras selain turut memiliki fizikal yang baik. Segala maklumat yang ada kami akan gunakan untuk perlawanan esok dan berharap ia dapat membantu kami mendapat tiga mata,” katanya.

FOTO: FAM

Kemenangan sangat penting bagi skuad Harimau Malaya kerana ia membantu Malaysia mendaki lebih tinggi dalam kedudukan ranking FIFA.

Jika menang, Malaysia akan memperolehi tambahan mata sebanyak 10.66 dan mengumpulkan keseluruhan mata sebanyak 1122.87.

Dengan jumlah mata tersebut, Harimau Malaya berpotensi naik sekurang-kurangnya satu anak tangga berada di ranking 129 dunia. Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 dunia adalah pada tahun 2001 iaitu di tangga ke-128 dunia.