Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menggesa agar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia memperbaiki kualiti padang ke tahap yang lebih baik.
TMJ berkata demikian ketika berkongsi keadaan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebelum perlawanan dalam saingan AFC Champions League (ACL) menentang BG Pathum United semalam.
Baca Juga:
- TMJ Dedah Romel Morales Bakal Sarung Jersi Harimau Malaya
- Dikritik Peminat, TMJ Pertahankan Jordi Amat
- ACL 2023/24: JDT Tamatkan Kempen Atasi BG Pathum
Padang SSI tidak lecak dan tidak bertakung meskipun hujan turun dari pukul 1 petang dan perkara ini disebabkan oleh sistem perparitan yang bagus.
Tiada lecak, tiada takungan air. Top drainage!
Soalan saya kepada MFL & FAM memandangkan Liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain?
Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan… pic.twitter.com/gxG6jZLuJy
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 12, 2023
“Tiada lecak, tiada takungan air. Top drainage. Soalan saya kepada MFL dan FAM memandangkan liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain?
“Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan sistem perpaipan yang bagus. Sudah masa semua pasukan dan Negeri memperbaiki padang stadium masing masing,” kata TMJ.
Sebelum ini, TMJ seolah-olah menegur Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terjejas ekoram digunakan sebagai venue untuk konsert Coldplay.
Hasilnya, ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara JDT menentang Terengganu baru-baru ini, kedua-dua pasukan beraksi di atas permukaan padang yang tidak rata dan ada pemain yang mengalami kecederaan.
Corbin-Ong mengalami kecederaan otot manakala Shane Lowry mengalami kecederaan pangkal paha. Pemain pertahanan Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili pula mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) tahap satu dan kini terpaksa berehat selama satu hingga dua bulan.
PSM dalam satu kenyataan rasmi kemudiannya memohon maaf kepada Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan semua peminat bola sepak negara terutamanya penyokong JDT dan Terengganu.
Mereka juga mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memperbaiki padang tersebut selepas berakhirnya konsert Coldplay.
“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki atau mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu.
“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” dipetik dari kenyataan rasmi.