Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengesahkan akan ada lebih ramai lagi pemain dan staf yang bakal meninggalkan pasukan itu.

Menurut kenyataannya di ruang komen instagram rasmi Johor Southern Tigers, TMJ menjelaskan JDT akan bergelar ‘underdog’ mulai musim depan.

Baca Juga:

“Underdog tahun depan, Akan ada ramai lagi yang keluar dari kelab. Proses berjimat. Stadium jarang penuh, RM10 aja tiket terbuka.

“Apapun, kita doa yang terbaik untuk kelab. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami,” tulis TMJ.

Langkah tersebut dilakukan kerana JDT ingin mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

Mereka telah pun membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas.

Antara yang disahkan meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo turut meninggalkan JDT selepas lama berkhidmat.

Selain itu, lima pemain Harimau Selatan juga akan dipinjamkan ke pasukan luar bagi mendapatkan minit permainan lebih banyak iaitu Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

Musim ini, JDT melakar sejarah baharu apabila muncul pasukan pertama di Malaysia meraih ‘double invicible quadruple’ dan menjuarai Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Piala FA.